BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Wednesday, June 3, 2009

Kesan Muzik : Muzik Bukan Sekadar Hiburan???

Dunia hari ini punyai macam-macam masalah. Misalnya kelazatan dan kesenangan atau keseronokan dan keriangan adalah sesuatu yang mesti diburu dalam hidup. Itu sahajalah yang benar, yang betul, yang mesti dituju dan merupakan kebaikan.
Untuk kefahaman semua, fahaman seumpama ini ialah satu aliran yang diasaskan oleh Epicurea. Ada sesetengah manusia mengenal fahaman tidak senonoh ini sebagai cyrenaicism. Ideologi ini, menyangkakan hidup di dunia hanyalah untuk berlazat-lazat saja. Ideologi ini kemudian terbahagi pula kepada macam-macam jenis yang lain. Ada fahaman yang mementingkan keseronokan untuk diri semata-mata digelarkan dengan nama egoistic hedonism, yang jenis lain pula dinamakan universalistic hedonism iaitu keseronokan di peringkat universal dan ada juga falsafah hidup yang bergelar psychological hedonism iaitu manusia ini konon-kononnya buat apa sahaja pun atas keinginan untuk mencapai keseronokan dan kelazatan.
Saya tidak anti sebarang muzik. Muzik yang tidak kembali kepada Pencipta kita dan sebaliknya meresahkan dan menjauhkan daripada kenyataanlah yang saya anti. Untuk pembaca muslim, saya perlu ingatkan hanya takwa sajalah pusat pegangan kita. Berharaplah sampai mati supaya kita duduk dalam kerangka ini. Allah menyebut dalam surah Ali Imraan ayat 112 tentang dimensi sebenar hal kesenian dan kebudayaan ini: Mereka akan ditimpa kehinaan, kecuali berpegang teguh pada ajaran agama Allah iaitu hablumminallah dan juga nilai-nilai kemanusiaan iaitu yang disebutkan sebagai hablumminannas. Soal muzik adalah soal budaya. Muzik bukan soal hiburan semata-mata seperti yang difahami oleh anak muda kita sekarang ini. Ia lebih dari itu. Oleh kerana muzik telah ada pada bangsa-bangsa bukan Arab juga, maka adakah kerana Islam datang kepada mereka, muzik itu harus dibasmi?
Dalam Islam, muzik ini untuk membebaskan kita dari dunia kebendaan, supaya dapat bebas dari hal-hal sementara yang ada di dunia ini dan menginsafkan diri kita justeru membawa kepada hal-hal yang lebih abadi. Sayang sekali segelintir anak muda kita, mengejar muzik yang kosong. Malah mereka itu menyangka muzik semata-mata hiburan dan keseronokan. Mereka tidak nampak muzik itu rapat dengan jiwa, dan jiwa yang tenang membawa kepada Tuhan. Muzik yang mereka dengar itu malah tidak dapat membawa kepada Tuhan.
Anak-anak muda di luar yang gila benar mahu menjadi bintang dan idola itu bukan sangat reti mengenai perkara ini. Anda tentu terkesan yang mereka hanya nampak kemewahan dan kemasyhuran menanti. Mereka tidak tahu sepicing pun mengenai muzik merawat mental juga emosi. Anda harus lebih tahu daripada mereka yang irama muzik sangat berpengaruh menumbuhkan emosi apatah lagi keadaan mental. Muzik tentu sahaja dapat menjadi terapi kejiwaan.
Tidakkah mereka tahu yang muzik menjana kelenjar pineal mengeluarkan hormon melatonin. Inilah jenis hormon yang berfungsi untuk menenangkan manusia. Muzik seumpama rock yang iramanya berfrekuensi lebih dari 12 hz akan hanya mendorong pendengar menjadi agresif, radang, baran dan merosakkan kesihatan dengan melajukan detak jantung. Sedang irama ney misalnya (sejenis serunai orang sufi: sila baca novel Advencer Si Peniup Ney) itu frekuensinya seputar 8 ke 10 hz, justeru temponya yang tidak pantas menjadikan fikiran tenang dan memberi santai di jiwa. Tidak hairan juga kalau irama yang berfrekuensi 4 hingga 8 hz, itu membuatkan orang lagi cepat tidur.
Anda harus lebih tahu daripada anak-anak muda yang mahu sangat menjadi bintang dan idola di luar itu. Ini ada benarnya hinggakan satu masa dahulu terdapat pasukan muzik di rumah sakit Sultan Beyazid kedua di Edirne wilayah Turki Othmaniyyah. Bukankah mereka menggunakan haruman dan irama sufi sebagai terapi rawatan untuk pesakit. Anda yang belum pernah mendengar hal ini tentu sekali kini menjadi lebih berpengetahuan bahawa Islam menawarkan muzik lebih daripada untuk keseronokan. Lama sebelum perang Akkerman, dalam tahun-tahun 1480an ketika bangsa-bangsa barat masih jahil dan belum mengenal gitar apatah lagi organ atau sains dan seni muzik, Sultan Beyazid II telah menubuhkan sebuah kompleks kesihatan di Edirne, menggunakan bunyian air, muzik dan wangian daripada bunga-bungaan untuk merawat orang-orang yang tidak sihat.
Justeru muzik dan menjadi pemuzik itu satu kerja mulia yang memberi perkhidmatan untuk kemanusiaan tetapi muzik hari ini dan segala macam program mencari bakat baru itu apa sumbangannya kepada kemanusiaan? Tetapi masa kini mereka terlalak-lalak mengaku bahawa kami adalah penyumbang kepada kemanusiaan.

SOLEHAH : Menjadi Atau Mencari??


Mencari Solehah atau Menjadi Soleh? Saya sering membaca kisah kehidupan orang yang ingin menghabiskan zaman bujangnya, namun gagal meninggalkan kepompong kebujangannya itu oleh kerana dilanda masalah pilihan jodoh. Mereka mencuba sedaya upaya sehingga berhabis ratusan ringgit mengupah tok bomoh profesional berataraf antarabangsa namun jodoh tidak kunjung tiba.


Pada waktu itu mereka mula mempersoal hakikat takdir Allah. Saya bukanlah agen pencari jodoh untuk anda pada post kali ini, cuma ketika berada di tahun akhir pengajian di sini saya selalu dipaparkan dengan masalah kegagalan mencari jodoh yang meragut ketenangan jiwa saya. Memang perasaan cinta agak sukar untuk diterjemahkan. Ada orang suka itu dan ini, pendek kata ada pelbagai rasa dalam satu masakan yang tak mampu diolah dalam bahasa kamus.

Susahnya mencari jodoh! Jika ditanya, anda mahu mencari jodoh yang bagaimana? Tentunya akan dijawab:

“Dia yang paling baik dalam akhlak dan budinya”

“Pandai jaga hati”


Baik dari segi itu dan ini. Sebenarnya jika anda cuba bertanya kepada penari-penari kelab dangdut, mereka juga akan menjawab dengan jawapan yang sama. Tiada wanita yang suka dibelasah oleh suaminya setiap hari walaupun suaminya itu bukan bekas ahli tinju yang mahir. Sudah fitrah manusia mencari yang elok dan tidak busuk. Cuma bayangan kefahaman mereka disebalik makna perkataan ‘baik’ itu yang berbeza.

Bagi mereka, orang yang selalu tersenyum itu adalah antara orang yang terbaik walaupun berasal dari kumpulan peninggal solat yang terkenal. Adapun kebaikan itu sebenarnya hanya terzahir bila kita mentaati perintah Allah. Bagaimanapun setiap kita mendamba cinta dari seorang kekasih yang sangat sempurna sifat keinsanannya.

Sifat sempurna yang mampu menutup lubang-lubang kecacatan walaupun setengah meter. Banyak sekali mereka yang telah lanjut usia gagal untuk mendirikan rumah tangga kerana memikirkan perkara ini. Yang ada di hati mereka:

“Betulkah dia ini baik atau sekadar berlakon.”

“Ooh mungkin dia cuba bantu aku sebab hendak mengambil hati.”

“Emm pakai tudung dan cuba-cuba buat solehah agaknya itu.”


Akhirnya, semua sifat orang habis diselidiki tanpa memikirkan sifat diri sendiri. Kita yang tidak punya sifat dan perwatakan yang 'baik' cuba untuk menilik mereka yang 'paling baik' untuk dijadikan pasangan hidup. Seboleh mungkin kita mahukan seseorang yang punya sifat seperti malaikat. Sedangkan kita antara orang yang selalu bermuamalah dengan syaitan setiap hari untuk melakukan maksiat. Ini tidak adil! Bagaimana sifat syaitan dan malaikat boleh bersatu?

Akhirnya setiap detik berganti masa yang lama tidak juga mendapat pasangan yang secucuk. Lamunan untuk mendapat itu dan ini tidak terzahir di depan mata oleh kerana sentiasa melihat yang negatif pada orang lain. Jadilah yang soleh, anda akan mendapat yang solehah! Cuba selidiki diri sebelum mencari orang yang kita bayangkan sifatnya dibenak kita. Adakah sifat yang berada dibenak sendiri itu, wujud dalam diri kita?

Atau dalam erti kata yang lain, jika ingin mendapatkan seorang yang solehah, maka kita juga perlulah menjadi yang soleh. Kalau ingin mendapat jodoh yang soleh, kita perlulah solehah. Dari sini kita dapat fahami bahawa menjadi sesuatu itu lebih mudah dari mencari sesuatu. Kita setia mencari pasangan yang berperwatakan seorang yang soleh dan solehah, sepatutnya kita sendiri perlu punya perwatakan itu.

Janganlah anda menyalah orang lain jika pinangan anda ditolak. Siapakah yang ingin mendapat pasangan punya 'kakinya berbotol' dan peninggal setia solat fardhu? Sememangnya dijanjikan Allah setiap yang baik itu kepunyaan yang baik. Dan yang buruk itu akan mendapat yang buruk. Penzina yang setiap saat bergelumang dengan dosa tidak akan mampu untuk mendapat pasangan seorang lelaki yang soleh.

Ini adalah realiti. “Jangan cuba masuk ke dalam istana untuk bertemu dengan puteri raja dalam keadaan pakaian anda compang camping”. Oleh itu jadilah yang terbaik untuk diri sendiri selain ingin menjadikan orang lain sebagai yang terbaik untuk diri kita. Belajarlah menjadi sifat orang yang kita ingini. Kelak kita sebenarnya yang akan dicari. Bukan kita yang mencari.



Ummi, Jangan Jadi Donkey...



“ La, cerita ni lagi. Kita pasang cerita lain la ye. Hari-hari tengok cerita ni je,” keluh saya bila anak ketiga meminta dipasangkan cerita kegemarannya.

“ Tak nak. Khalil nak tengok cerita ni,” balas si bujang saya. Susah benar dia mahu berkompromi bila berbicara tentang cerita yang satu ini.

“ Ok, lah. Tapi Ummi tak mahu Khalil jerit-jerit ye. Tengok je,” saya mengalah sambil berlalu ke dapur untuk memasak hidangan tengahari. Sambil memasak, mata dan telinga, saya arah ke ruang tamu bersebelahan. Kedudukan sinki dapur yang terletak hampir dengan pintu yang memisahkan ruang dapur dan ruang tamu memudahkan saya memantau cerita, iklan atau apa sahaja program yang sedang ditonton oleh anak-anak saya. Tambahan pula peti televisyen memang saya dan suami susunatur betul-betul berhadapan dengan pintu dapur.

Sebetulnya, anak-anak saya sangat gemar menonton filem animasi terbitan Dreamworks Studio ini. Lebih-lebih lagi anak ketiga saya yang boleh dikatakan hampir setiap hari pasti meminta agar dipasangkan dvd kegemarannya itu. Dari siri satu hingga yang ketiga semuanya telah habis ditonton, bukan sekali tetapi berkali-kali.

Ada beberapa sebab mengapa mereka gemarkan filem animasi yang satu ini. Pertama, penggunaan Bahasa inggeris yang mudah terutama bagi mereka yang ingin belajar bertutur dalam Bahasa Inggeris dengan baik. Lontaran dialog setiap wataknya terang dan sangat jelas.

Keduanya, mesej yang dibawa berkisar kepada nilai-nilai kekeluargaan dan kepercayaan kepada diri sendiri. Dan ketiga, sudah pasti kerana nilai moral ( bukan akhlak ) dan tata tertib yang masih dijaga rapi. Mungkin kerana sasaran umumnya adalah golongan kanak-kanak.
Cuma….

BISING SANGAT


Saya cukup tidak suka mendengar salah satu wataknya bersuara. Bising. Riuh. Bagai mendengar air hujan yang sedang lebat turun menimpa atap zink di kampung rasanya. Bingit, sungguh tidak selesa. Akan tetapi, saya tidak menafikan ada sifat-sifat mulia padanya yang sangat saya impikan agar ia ada pada diri saya sendiri dan orang lain sebagai seorang kawan dan sahabat sejati.

“Ish..bising betul keldai ni..banyak mulut sungguh," kerap kali saya mengkritik begitu ketika menonton filem animasi Shrek. Anak-anak yang menonton sama, pasti akan ketawa kecil bila mendengar nada meluat saya terhadap riuh rendah suara si Donkey.

“ Kenapa Ummi tak suka?” tanya Kak Ngah ingin tahu.

“ Sebab dia selalu bercakap menjerit-jerit..” jawab saya.

“ Kak Ngah selalu cakap kuat Ummi," Kak Long mencelah. Kak Ngah hanya menjuih mulut tanda tidak suka diungkit tentang suara kuatnya itu.

“ Kak Long dan Kak Ngah tak boleh cakap macam tu. Orang dengar rasa tak selesa," saya menambah memberi nasihat sepatah dua kepada mereka. Memang adakalanya anak-anak perempuan saya ini bila berbual sesama mereka di dalam bilik, saya boleh mendengar dengan jelas setiap patah perbualan mereka. Kuat dan nyaring.

“ Sebab itu Allah ada sebut dalam al Quran, seburuk-buruk suara ialah suara keldai, sama macam Donkey kawan Shrek tu. Shrek pun selalu kata “You are an annoying, talking donkey" ,kan?” tegas saya mengingatkan.

NASIHAT LUQMANUL HAKIM

Akhlak adalah soal yang sangat perlu dititikberatkan dalam didikan ibu dan bapa kepada anak-anak. Antara yang perlu disenaraikan ialah bagaimana cara komunikasi yang baik antara mereka dan orang–orang di sekeliling. Tiada siapa yang suka dirinya dijerit-jerit. Hati mana yang tidak perit bila dihambur dengan nada suara yang kuat sedangkan dia masih boleh mendengar dengan baik dan bukannya tuli.

Kisah Luqmanul Hakim telah disebut di dalam al Quran bila mana beliau menasihati anaknya sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud :

"Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai."
( Surah Luqman ayat 19)

Kerana itu juga, para anbiya’ diperintahkan Allah agar berlemah lembut dalam dakwah mereka sebagaimana firman Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW yang bermaksud :

“Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat), dan kalau engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentu mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya”. ( Surah Ali Imran ayat 159)

Demikian juga saranan Allah SWT kepada Nabi Musa a.s dan Nabi Harun a.s ketika berdepan dengan kezaliman Fir'aun.

"Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut." ( Surah Taha ayat 44 )

JANGAN AH! OH!

“ Kimi, tolong mak angkatkan kain di ampaian luar ye. Nampaknya hari nak hujan," kata seorang ibu kepada anaknya yang sedang asyik mengadap PS2.

“ Ah! Mak ni. Tak Nampak orang tengah sengit ‘berperang’ ni,” bantah si anak tanpa sedikit pun menoleh memandang wajah ibu.

Hati ibu mana yang tidak sedih bila mendengar anak menjawab dengan perkataan ah! Oh! dan seumpamanya. Jiwa ibu mana yang tidak pedih melihat anak yang diasuh dan dibelai sedari kecil bersikap acuh tak acuh dan kurang ajar kepada dirinya. Semua ini berkait adab dan nilai budi yang diajar di dalam Islam betapa sependek perkataaan ah! dan oh! saja sudah cukup menjatuhkan seorang anak kepada lembah kedurhakaan. Firman Allah SWT yang bermaksud :

“Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”

“Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil."
( Surah Al-Isra' ayat 23-24 )

Islam mengajar umatnya berbudi bahasa terhadap orang lain terutama kepada kedua orang tuanya yang telah banyak berjasa mengasuh, membesar dan mendidik anak-anak. Sikap suka meninggikan suara, mengherdik dan mengeluarkan perkataan yang menyakitkan hati mereka adalah amat dilarang oleh agama dan disenaraikan sebagai perbuatan yang membawa kepada dosa besar. Rasulullah Saw bersabda yang bermaksud :

“Sebesar-besar dosa (dosa besar) ialah menyekutukan Allah, membunuh manusia, derhaka kepada ibu bapa dan menjadi saksi palsu.” (Hadis riwayat al-Bukhari).

Perlu diingat bahawa dosa menderhakai ibu dan bapa akan dibalas oleh Allah di dunia lagi dengan azab yang pedih dan menyeksakan.

“Semua dosa ditangguhkan oleh Allah (seksaannya) mana-mana yang dikehendaki-Nya sehingga ke hari kiamat, melainkan dosa kerana menderhaka kepada dua ibu bapa. Maka sesungguhnya Allah akan segerakan seksaan dan azab ke atas pelakunya ketika hidupnya, sebelum mati.” (Hadis riwayat Thabarani dan Hakim)

BERMULA DARI IBU BAPA

Namun demikian, sebagai ibu dan bapa yang diamanahkan oleh Allah dengan anugerah cahaya mata, mereka perlu lebih dulu menginsafi bahawa watak serta sifat yang ditonjolkan oleh anak-anak adalah diwarisi dari kedua orang tua. Walaupun mungkin tidak semua, sedikit sebanyak tetap ada. Jangan sesekali ibu dan bapa lupa bahawa anak-anak juga mempunyai sepasang mata dan telinga untuk mereka boleh melihat dan mendengar apa sahaja yang dilakukan dan diperkatakan oleh ibu bapa.

Sewajarnya, pasangan ibu bapa yang juga suami dan isteri harus membina hubungan baik antara mereka. Suami menghormati isteri dengan berkata yang baik, tidak meninggikan suara dan menegur kesilapan isteri dengan nada lemah lembut dan penuh kasih mesra. Begitu juga kepada isteri. Jangan pernah meninggikan suara kepada suami di depan anak-anak. Ini termasuk juga kata-kata berbaur penghinaan yang mungkin tidak disengajakan tetapi memberi titik hitam kepada jiwa putih suci anak-anak.

“ Ayah kamu tu, taunya tidur je. Bukannya nak bantu ibu di dapur,” luah sinis seorang isteri kepada anaknya yang berumur lima tahun.

“ Alah emak kamu tu, masak asam pedas ikan parinya bukan sedap mana pun,” kata pula seorang suami kepada anak perempuannya yang masih bermain anak-anak patung.

Ibu dan bapa harus lebih dulu berusaha keras membina imej ibubapa yang baik dari kacamata anak-anak. Ibu bapa adalah pendidik anak-anak yang sebenar, sebelum mereka melihat dunia luar. Ibu bapa adalah contoh tauladan dalam apa jua perkara yang mereka lakukan sebelum mereka dewasa dan boleh membuat keputusan. Jangan pula ibu bapa menjadi seumpama ketam mengajar anaknya berjalan betul, tetapi dia sendiri berjalan senget mengereng ke tepi.



UMMI, JANGAN JADI DONKEY

“ Ya Allah, dah lambat ni,” tiba-tiba saya terjaga dari tidur-tidur ayam selepas solat subuh pagi tadi. Jam di dinding telah menunjukkan pukul 6.30 pagi. Kak Long dan Kak Ngah juga saya benarkan tidur semula selepas solat memandangkan waktu subuh bermula seawal jam 3.30 pagi.

Saya bergegas ke dapur untuk menyiapkan sarapan dan bekal buat Kak Long dan Kak Ngah. Sambil mengoles jem pada roti saya menggoreng pisang untuk mengisi perut anak-anak. Hari ini saya sendiri akan menghantar anak-anak ke sekolah kerana suami berada di luar negara. Sementara itu, saya naik ke tingkat atas rumah dan mengejutkan anak-anak, kemudian kembali turun ke dapur menyiapkan gorengan pisang yang masih berbaki.

“ La, tak bangun lagi Kak Long dan Kak Ngah ni,” bisik saya sendirian bila kelibat anak-anak tidak kelihatan di dapur.

“ Nurul Husna, Najwa Safiyyah. Bangun. Dah lambat ni,” laung saya dari bawah tangga dengan apron dan sudip di tangan. Kuat juga rasanya suara saya.

“ Ummi..” tiba-tiba wajah Kak Ngah terjongol di tingkat atas anak tangga. “Ye..” jawab saya dengan nada lega melihat Kak Ngah sudah terjaga dari lena.

“ Jangan jadi donkey,” Kak Ngah berkata. Alamak! Baru saya tersedar..terkena juga saya akhirnya.